detik demi detik

Wednesday 27 March 2013

Tidur Awal Bangun Awal

Abah saya kata bekas Permaisuri Agung Tuanku Najihah mengamalkan Sleep Early and Wakeup Early dalam hidupnya, terdapat banyak  kebaikan jika kita tidur awal dan bangun awal. Hari bekerja saya mengamalkan setting masa tidur sekurang-kurangnya jam 11 sudah berada atas katil, antara 10 hingga 11 malam selalunya saya sudah landing kerana saya perlu bangun awal untuk bekerja, sebab itu saya tak tahu cerita selapas jam 11 malam sebab saya lebih suka tidur awal. Saya jarang tidur lambat kecuali jika tak bekerja sabtu ahad, kata orang ada kebaikan tidur awal antaranya:


1. Berat badan turun
2. Tidur lebih mudah
3. Lebih aktif di pagi hari
4. Jantung lebih sihat
5. Lebih tenaga
6. Bersukan dengan lebih baik
7. Tidak mengalami kesan kafein


Saya seorang yang suka tidur lebih masa, saya kalau boleh tidak mahu kurang masa tidur. Tidur amat penting bagi setiap individu dan individu itu sendiri perlu mendisiplinkan masa tidurnya. Waktu kerja saya perlu berdisiplin, tak ada ruang untuk curi tulang mahupun rehat yang cukup, bila tidur saya cukup maka saya tak berada di ambang mengantuk sewaktu bekerja kecuali pada jam 3 petang selepas makan nasi memanglah rasa sedikit sarat kerana kekenyangan. Kita adalah apa yang kita corakkan.



Berbalik kepada kisah tidur awal bangun awal, disiplin untuk jadual tidur itu adalah sewaktu hari bekerja, jika tak kerja jadual tak dipakai, hujung minggu tetap hujung minggu, waktu rehat yang panjang maka tidur pun lebih panjang jadinya. Lagipun wujud saturday night, itu yang payah bila tak tidur malam, bangun pagi pun lambat. Amalan tidur awal dan bangun awal saya cuma di hari bekerja, hari cuti kita belasah tidur sepuasnya.


hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Saturday 23 March 2013

Final Decision

Tengahari jumaat sedang saya menikmati makan tengahari di sebuah gerai dengan lauk ikan keli sambal bersama gulai lemak pucuk ubi telefon bimbit berdering panggilan dari Severfreak mengenai payment overdue papan kekunci dot com (www.papankekunci.com) yang telah expired pada 18 Mac 2013, tak mengapa kerana saya telah membuat sebuah final decision yakni keputusan muktamad biar ia hanya sebuah tinggalan sejarah untuk dunia blog saya. Ia bagai ikan keli sambal yang selalu menjadi pilihan saya sedangkan saya tidak membesar dengan menikmati ikan keli, arwah mak saya rasanya tak pernah sekalipun masak ikan keli begitu juga saya. Sejak saya mengikut kursus khemah ibadah di ILDAS Sabak Bernam, sejak itu saya kenali ikan keli dan kini memang antara favourite kalau di kedai makan. Ikan keli cuma cerita sampingan.

Bukan senang membangunkan domain dan hosting peribadi, dua tahun saya bertahan bersamanya, entah mengapa saya beralih arah di saat banyak perkara kronik yang bermain di minda. Saya mula membangunkan papan kekunci dot com dengan hasrat yang tinggi tapi apakan daya dunia hacker juga berleluasa sampai satu tahap Serverfreak pernah memohon maaf melalui email sewaktu blog papan kekunci dot com kena hack lagi dan lagi. Mungkin ramai manusia menginginkan sebuah domain dengan nama papan kekunci, jadi saya beralah sahaja lebih baik.

Sepanjang 2012, tak ada satu pun pencapaian yang membanggakan buat papan kekunci dot com selain menang contest blogger, kalau ada pun cuma pencapaian pagerank 2, bayangkan boleh dikatakan setiap hari mesti ada email dari limit login attempts ke email block ip address para hacker, dengan masalah hilang dari carian google hingga tak berada pada page google telah menyedarkan saya juga bahawa saya bukanlah arif soal pembangunan sebuah domain. Bila lihat statistik harian yang cuma kurang dari 100 pengunjung sehari yang ramainya dari sahabat blogger terasa perlu membuat satu keputusan muktamad, pencapaian blog bersawang blogspot bersifat ilmiah saya pun mencapai lebih dari itu, ada rezeki saya akan membina sebuah domain baru dengan nama baru itupun jika azam dan tekad saya besar dalam dunia blog.

Saya memerhatikan blog Fatin Liyana seorang bakal doktor yang hanya berplatformkan blogspot, melihat kredibiliti blog Ceeramoon,  dan sesekali ke blog Syamsul Yusuf yang cuma menggunakan theme simple berwarna hitam. Inspirasi dari blog hebat menyedarkan saya bahawa semangat berblog itu jangan sekali hilang, mental mesti kuat sekuat sajak dari Antologi Anak Laut dari buku berwarna ungu yang sangat berinspirasi, sebuah sajak mengenai keberanian seorang wanita.


Aku Menjadi Lebih Berani 

Kali ini 
kau berbaju biru 
dan bajuku ungu 
sayang, hanya aku tahu 
hatimu 
tidak setulus hatiku 
yang berbaju ungu. 

Bila begini, sebilah pisau aku tidak gentar 
sepatah kata, 
bisa, aku merasa. 
Hati dan rasa mengejarku 
aku menjadi lebih berani.

Latifah Haji Shebli 
Anak Laut, 
DBP, 2000

Berbanggalah dengan diri sendiri, Jumpa saya di sini.

hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Thursday 21 March 2013

Semua Ini Poyo



Alahai  poyo, tak sangka kan saya diam, terdiam, mendiamkan diri dan diam-diam. Diam tak bererti lari dari realiti tapi sebenarnya sedang ingin merungkai segala misteri dunia yang sementara, amboi poyonya. Dalam diam cukup segala segala rumit, kronik, klimaks dan akhirnya terhenti di sini. Saya sangat stress, serius stress dan segala macam stress hanya kerana stress. Semua ini bermula dengan satu tindakan drastik yang datang tiba-tiba, sekali air bah, sekali pantai berubah. 



Pelik, itu definisi team leader saya pada perlakuan saya selama ini yang dilihat dari mata kasarnya dan saya senyum sahaja. Bagi saya bukan pelik tapi tak suka ambil tahu dan jadilah diri sendiri, saya tahan dimarah walhal ditengking, bukan sebab saya berbudi bahasa tapi malas berkasar dalam berbahasa. Salah satu sebab saya begini kerana tak mahu orang ambil tahu lebih dari apa yang mereka tahu tentang saya, biar menunduk resmi padi, jangan menongkah langit biru.


Pandang kiri sudah, pandang kanan susah yang banyak adalah serba salah. Serba tak kena rasa tapi semua ini poyo, poyo sahajalah. Tadi saya beli 3 jenis asam konon nak hilangkan stress, ah saya poyo lagi tak habis mana pun asam tu, tak sakit mana pun dugaan itu. Esok jumaat penghulu segala hari, esok saya ada misi. 



hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Monday 18 March 2013

Mandi Pantai Teluk Kemang

Misi berjaya mandi Pantai Teluk Kemang,

Awal pagi lagi sudah ke Port Dickson melalui lebuhraya untuk ke Teluk Kemang, tak tahu saya bahawa Port Dickson telah di isytiharkan sebagai Bandar Tentera Darat sejak 29 september 2009, dengan melalui tol RM3.20, akhirnya kami melalui Bandar Tentera Darat sebelum berjumpa bulatan sama ada ke pantai Teluk Kemang atau Pantai Port Dickson. Apa yang kami buat, duduk bersahaja mengadap pantai, cuaca sangat terik. Baju basahan memang tersedia, kami memang tak lawa tapi melawa sakan juga, memang feminin. Lama sudah tak ke Pork Dickson rasanya cuma sekitar 10 tahun lepas sewaktu kakak saya belajar sekitar Sungai Udang, Melaka. Tak pernah juga singgah lagi selepas itu, memang agak lama.


Bila anak dara nak mandi memang agak malu-malu tapi macam biasa "akak memang tak cover cun", mandi tetap mandi juga, di tengahari pukul 12 boleh kami berendam dalam air masin, sangat masin. Wah walaupun panas terik tapi tetap menyeronokkan pengalaman itu, tak sangka saya mandi laut setelah sekian kalinya tak mandi laut kira-kira 7 tahun lepas, keluarga saya amat lama tak ke pantai untuk mandi manda, mandi sungai pun dah lama tak jejak kaki pernah sekali ikut konvoi family besar atok bermandi manda di Lata Bongsu, macam biasa kalau akak tak turun ke air si adik-adik pun malu-malu kucing, akak memang suka pada air. Sejam sahaja kami berendam, tak lama sangat kerana faktor cuaca panas dan kejar masa dan sejam juga berada dalam bilik air persalinan untuk mandi air paip semula setelah memasinkan badan, pasir sana sini usah kata memang kena sental. 


Kalau sudah mandi maka kita makan tepi pantai, oleh kerana kami ada misi untuk berjumpa abang askar maka lepaking dalam kereta sekejap sambil menunggu si jejaka idaman, sampai si jejaka kita pekena ais kacang hingga petang, memang sudah sangat petang pun kami pulang dan sampai rumah dekat pukul 8 malam.

Mana tahu kan, impian nak kahwin bawah pedang tercapai.


hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Monday 11 March 2013

Ikhlas buat Tabung Wira Lahad Datu





Islam yang telah berkembang
laksana bunga yang indah
yang berkembang mekar harum mewangi
tumbuhnya memenuhi bumi [2x]
tumbuhnya memenuhi bumi
lembah dan tanah yang tinggi
kesuburan itu telah dibajai
oleh darah para syuhada' 
Islam Yang Telah Berkembang 
kembangnya itu telah sirami oleh air peluh para mujahid
tamannya itu telah dipagari oleh para mujaddid dan mujtahid
paduan kita diambil dari 
Al-Quran sunnah Rasulullah 2x
berkumandanglah kalimah toyyibah dari pembela agama kebenaran
keindahan Islam telah terpancar oleh ...... kaya dan pemurah
ibarat air mengalir deras
derumannya bagai mencurah-curah 2x




Teringat pada zaman kecil dahulu diajar ustazah sebuah lagu nasyid di sekolah agama. Waktu itu langsung tidak memahami apa yang dinyanyikan. Hari ini sekalung terima kasih buat para pejuang pasukan hadapan, ia bagai sebuah mimpi yang sebenarnya kenyataan. Wanita mungkin berjiwa sensetif, acap kali bergenang air mata apabila melihat wajah-wajah orang tersayang yang telah ditinggal mati oleh wira negara. Semoga jasamu dikenang zaman berzaman, ikhlas buat Tabung Wira Lahad Datu, marilah bersama kita menyumbang sebagai tanda penghargaan, terima kasih, dan alternatif saham akhirat. 





hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Sunday 10 March 2013

Rendang Untukmu

Salam Hujung Minggu,

Rendang untukmu anak telah selamat masuk pertandingan di Tadika Kemas, menang kalah adat bertanding. Untukmu anak, sanggup kami adik beradik bersengkang mata memasak rendang, jujur rendang bukanlah kepakaran kami tapi untukmu anak, sanggup juga menjanjikan yang terbaik, mamanya memang hebat dan boleh di gelar SuperMak sedang saya masih di ranking bawah. Rendang ini dapatlah saguhati tapi tuah mama yang ikhlas buat anak bujang hasilnya menang lucky draw hamper jajan penuh. Bukan setakat rendang, saya masak ayam masak kicap dan kuah laksa sekali harung. Hari ini merebus laksa, merebus telur dan merebus nasi impit, sambil tunggu nasi impit perut sudah amat lapar, itulah pentingnya laksa sebagai santapan pengiring. Hasil yang memuaskan, di sebalik tabir hasil masakan. Seperti tanggapan kakak saya yang sulung bahawa kami memang lambat memasak ternyata sangat benar, belum lagi lambat mengemas. Janjitemu hari ini juga saya batalkan kerana banyak kerja tak siap lagi di rumah, rakan saya sentiasa memahami.

Semalam sebelum memasak untuk pertandingan, saya servis kereta sambil menukar bateri kereta setelah hampir dua tahun bersama bateri lama. Saya tukar minyak hitam kereta, kata makenik pada saya

 "kakak, kereta kakak ada liking sikit maybe kakak ada langgar lubang besar mana-mana, tapi tak  apa dont worry sebab kakak tukar minyak hitam in time, tadi saya tukar minyak kakak selalu banyak ini keluar tapi minyak hitam kakak banyak ini sahaja",

so "adik nak kakak repair liking sekali ke"

"tak perlu kakak sebab kakak tukar minyak hitam in time, nanti next time pergi tukar minyak repair sekali"

oh "thank you adik"

Bulan ini saya simpan sedikit bajet untuk kereta, tanya juga dekat makenik berapa tukar timing bell dan bearing, kalau bearing sahaja maybe RM60, tapi untuk timing bell dalam RM370 sebab perlu tukar satu set. Nampaknya berjimat cermatlah saya, kurangkan beli barang remeh temeh demi merealisasikan kejayaan tukar bearing dan timing bell. Harap-harap berjaya. Singgah pasaraya membeli barang keperluan rumah dan juga diri.  Saya beli clorox dan downy passion kali ini.

Kenapa clorox, untuk membasmi sekian kuman di rumah, basuh lantai, basuh bilik air semua itu akan nampak lebih bersih kalau guna clorox, clorox sangat membantu. Lebih tepat, stok clorox dan habis lama di rumah. Kenapa pula membeli downy passion kali ini, begini ceritanya, saya memerlukan sabun basuh pencuci paling wangi seperti cecair breeze warna ungu untuk membasmi bau peluh adik lelaki saya juga abah saya, kadangkala bau kilang abah saya sangat kuat jadi saya perlukan pelembut tambahan yang sangat wangi maka saya pilih pelembut dengan bau minyak wangi keluaran downy passion. Memang sengaja pilih downy passion dan saya sedang meneliti hasilnya terbaik atau lebih baik.


Bau yang wangi akan menambahkan semangat mencuci pakaian dan sikap si pemakai, bila kita wangi maka bertambahlah aura positif dalam diri,  sebab itu penting untuk sentiasa wangi.





hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Saturday 9 March 2013

Ruang Dan Peluang


"KITA TIDAK PERNAH BUKA PELUANG DAN RUANG KEPADA PENCEROBOH NEGARA"- @Zahid_Hamidi, itu kata menteri pertahanan. Saya sangat hormat pada Menteri Pertahanan negara, semacam ada satu aura kepercayaan yang tinggi pada krebiliti beliau dalam skop tanggungjawab pada negara dan agama. TV3 tadi juga membicarakan soal ruang dan peluang berkaitan soal negara. Sedang saya sedang gigih mencari wang, ruang dan peluang untuk maju ke hadapan. 

Wang sangat penting kini, lihat sahaja berapa banyak bajet negara dikeluarkan untuk menyelesaikan pecerobohan orang Sulu melalui Op Daulat, tanpa bajet pertahanan yang cukup maka bukanlah sebuah kejayaan. Sekarang untuk setiap harga adalah mahal untuk diperoleh, begitu mahal harga sebuah pengorbanan, begitu mahal harga nyawa manusia dan sangat mahal keikhlasan kita di sisi Allah SWT. Dari sudut wang, memang mahal harga barangan hari ini, penting untuk kita buat satu bajet untuk diri sendiri juga jika berlaku kecemasan atau apa jua musibah.

Ruang dalam erti kata sebuah kelapangan, ruang untuk berbicara di dalam blog melalui hasil penulisan sebenarnya sangat bernilai. Saya menjadikan blog personal dengan erti kata penulisan wanita yang menaip di ruang sesempit blognya. Ruang yang besar menghasilkan kepuasan yang besar, bukan setakat ruang bicara kerana ruang itu meluas. Tanpa ruang, tak kan ada sistem hak individu, maka bagi sebuah negara tak perlu ada sistem piliharaya kerana tak wujud ruang bagi individu untuk menjadi pengundi, ia ibarat kuasa mutlak yang autonomi. Lihat Malaysia memberi ruang kepada rakyatnya dari setiap sudut yang berbeza-beza. Ruang itu satu kesempatan buat saya juga untuk terus menikmati setiap inci kehidupan.

Peluang bukan mudah kita dapat, peluang adalah satu kesempatan yang sangat baik, tanpa peluang maka tiadalah perancangan. Peluang yang diberi untuk menjadi manusia di muka bumi tuhan yang maha luas ini sangat bererti bagi setiap manusia. Peluang itu opportunity yang tak ada ada jika tak diadakan. Peluang lebih kepada persetujuan berbeza dengan ruang lebih kepada kesempatan, ruang mungkin banyak tetapi peluang jarang sekali dikira banyak. Berusahalah demi wang, ruang dan peluang buat diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Ruang lingkup bicara saya juga seakan terhad kini kerana fokus kepada banyak skop berbeza hingga suka untuk cerita soal semasa sahaja. Saya sedang banyak belajar untuk hidup lebih teratur dan lebih berdisiplin. Selamat maju jaya semua.



hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Cinta Boleh Lenyap Bersama Lenyapnya Sebab

Saya petik artikel ini nurkilan Ustazah Fatimah Syarha dalam iluvIslam. Memang benar, cinta boleh lenyap bersama lenyapnya sebab.

Cinta itu apa sebenarnya?

Ramai orang bagi definisi cinta tapi susah nak faham. Ibnul Qayyim al-Jauziyah dalam bukunya Raudhatul Muhibbin memberi kaedah yang mudah. Tq ulamaku.

"Cinta boleh lenyap bersama lenyapnya sebab."

Sebab?

Why?

Sebab adalah nyawa cinta.

Tanpa sebab, matilah cinta.

Sebab sembarangan hanya menumbuhkan cinta sembarangan.


hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Sempena Mac Mencemar Duli


3 Mac 2013, salam hujung minggu.

Januari, februari kini Mac With Love, takziah buat wira negara yang gugur di Lahad Datu. Moga kita dapat jadikan pengajaran betapa perlunya menjaga maruah negara, dengan penuh harapan semoga berakhir dengan pendamaian antara dua pihak. Rasa saya, kerajaan juga sedang mencari ikhtiar terbaik demi masa depan negara. Sekalung terima kasih buat pasukan keselamatan negara yang berhadapan dengan krisis pencerobohan tersebut dan berusaha menanganinya sedang saya pula leka menaip blog di sebuah tempat yang aman damai. Sebab itu mereka layak digelar wira negara, tanpa mereka entah dimana kita pula.

Ramai orang menunding jari pada keselamatan perairan negara yang selalu sahaja di bolosi, setakat menuding jari bukanlah kaedah (methods) yang paling baik hari ini tapi bersamalah mencari solusi terbaik. Paling mudah kirimkan secebis doa untuk keselamatan negara dari setiap sudut. Kerajaan bukanlah individu tetapi sebuah organisasi manusia, siapa sangka tiba-tiba ada pula serangan dari sudut lain yang kita sendiri pun tak tahu jika kita sangat tertumpu di Lahad Datu, sebab itu setiap berita dihadkan, setiap sudut dipertingkatan keselamatan dan kerajaan semestinya sudah merancang dengan sangat teliti. Cinta boleh lenyap bersama lenyapnya sebab, jika sudah tidak ada rasa cinta pada negara maka lenyaplah negara Malaysia suatu hari nanti dalam peta dunia. Hari ini sedikit rasa cinta akan negara hadir juga bila melihat seorang anak kehilangan ayah, seorang isteri kehilangan suami dan seorang lelaki berkorban nyawa untuk negaranya.

HIdup kini banyak tertumpu kepada kepentingan diri sendiri, hal orang lain kita tak ambil peduli. Keluarga adalah keutamaan, rakan-rakan adalah kepentingan dan kerjaya adalah sumber pendapatan. Hubungan persaudaraan juga sudah jadi jauh kerana kita sangat tertumpu kepada keluarga sendiri, rakan-rakan sendiri dan kerjaya sendiri. Sempena Mac mencemar Duli, agak padat hari-hari mendatang saya dengan aktiviti mandi manda, kenduri kahwin, ada orang hari jadi, ada keluarga di sisi, dan aneka cerita sendiri. Semua ini kerana saya dilahirkan di sebuah negara yang aman di atas muka bumi. Saya juga seperti kamu juga, sangat mementingkan diri sendiri, saya malas bangun pagi, saya malas masak, saya malas ambil tahu soal jiran saya, saya malas ambil tahu soal politik setempat saya, saya malas ambil tahu soal isu semasa negara saya dan saya sememangnya sangat malas. Tapi saya suka kata saya tak cukup masa dan saya sangat sibuk, sibuk tidur, sibuk kerja, sibuk kemas rumah, sibuk baca blog, sibuk buka facebook dan segala macam sibuk yang sebenarnya lebih kepada sikap pentingkan diri sendiri. Saya suka bercerita mengenai teori tetapi saya sendiri mungkin tidak mempraktikkannya. 

Sekarang suasana negara adalah seperti lagu anak kecil main api. Cerita saya juga lebih kepada cerita kosong.




hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Tuntutan Sejarah


Umum mengetahui pencerobohan sekumpulan manusia di Lahad Datu yang telah mengancam keselamatan negara. Tak sangka Sabah didamba waris Kesultanan Sulu yang entah datang dari mana, mengapa tak ceroboh sahaja Kalimantan Indonesia yang tak membangun tapi masih inginkan Sabah, lagi baik tuntutlah selatan Filipina dahulu. Patutlah artikel di Military Of Malaysia berkisar soal Sabah selamanya, rupanya Kerajaan Malaysia sudah dapat membau kedatangan mereka. Kerajaan kita bukannya tak berilmu, penduduk Islam Malaysia berpegang pada mazhab Imam Syafie yakni mazhab yang paling berat sekali. Salah satu sebab mengapa masyarakat Islam Malaysia disanjung tinggi adalah kerana berpegang kepada mazhab yang paling berat sekali. 

Dari segi pegangan agama, janganlah kita sebagai seorang Islam memperlekehkan segenap permasalahan agama. Islam agama yang memudahkan, dari segi aurat tak perlu terlampau terikat dengan etika pemakaian muslimah yang membebankan semata-mata menjaga diri dari umpat keji tetapi memadai menutup aurat dengan mengikut cara kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia, tidak terlampau menonjol dan tidak juga terlampau warak hingga memakai purdah kecuali atas sebab tertentu. Tak semestinya pemakaian penuh muslimah itu menunjukkan beliau gadis yang baik kerana mungkin sekadar menutup aib dirinya. 

Itu cerita Sabah, Kelab Pecinta Sejarah Kelate ada berkias adakah mungkin dalam proses mencari bukti pusat pemerintahan Kerajaan Langkasuka yang masih misteri, dengan menghadap laut China Selatan di tempat teduh bagi saya agak logik juga. Mungkin ramai sedang mencari tembok tinggi dan dua pintu gerbang misteri yang di coret oleh srikandi Sejarah Melayu di laman sesawangnya. Saya sendiri tak dapat bayangkan bagaimana struktur sebenar pusat pentadbiran kerajaan Langkasuka. Mungkin ia bukan rahsia lagi tetapi sedang dirungkai, sebab itu cerita tinggal cerita sahaja tak pula direka-reka. Misteri mana cerita itu kalau ada yang mengatakan benar kemungkinan ia benar.

Berbalik kepada tuntutan sejarah, bukan mudah mencipta sejarah. Barangkali benar "sejarah dibuat oleh mereka yang menang", sebab itu "undang-undang dibuat untuk dilanggar". Kalau anda benar-benar melihat sebuah Istana di atas awan dan bercerita mengenainya kepada seorang rakan lalu rakan anda percaya mengenainya ia bagaikan satu kebenaran bahawa Allah SWT itu Maha Esa lagi Maha Kuasa mencipta segalanya. 



hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Srikandi


aku bukan bakal permaisuri
bukan juga seorang srikandi
malah belum lagi bergelar isteri
namun itu tidak bererti
aku gagal berdikari
berdiri di atas kaki sendiri
di dunia ini.


Berikan aku ruangan catatan terbaik
untuk aku coret kisah hidupku yang unik
namun jika perjalananmu masih terkedek-kedek
aku jua tidak pernah berasa serik


Belikan aku sepasang subang emas
supaya aku cantik mewah berhias
namun jika engkau hanya mampu menghadiahkan senyuman ikhlas
hatiku tetap merasa puas


Berikan aku kemewahan dunia
agar aku merasai nikmat hidup sebagai manusia
namun jika aku hanya mampu kelihatan sederhana
itu sudah cukup membuktikan kurnia


hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Cinta High Class


Sebuah puisi Airmata Ustazahku dari blog salah seorang penulis di i luv islam (sumber). Sesungguhnya puisi Airmata Ustazahku adalah Cinta High Class.



Qani’ah Syumaila
Dia meminta ustazah menjadi Sarah,
Mencarikan Hajar untuk suaminya.
Ustazah memintanya sesetia Ibrahim,
Tidak berusaha mencari yang kedua,
Meskipun isterinya mandul sekian lama,
Kerana…
Ustazah telah melahirkan sembilan orang anaknya,
Kondisi Sarah ternyata berbeza,

Qani’ah,
Dia meminta ustazah menjadi Aisyah,
Rela dimadukan suami,
Ustazah meminta dia sesetia Rasulullah,
Tidak rela memadukan Khadijah,
Walau dengan mengambil hamba,
Kerana…
Ustazah boleh beranak dan Aisyah tidak,
Kondisi Aisyah ternyata berbeza.

Qani’ah,
Dia meminta ustazah taatkan hasratnya,
Tidak membantah dan tidak menegah,
Agar senang masuk ke jannah,
Ustazah meminta dia hormati hak seorang Fatimah,
Suaminya Ali, diberikan dua pilihan,
 Sama ada menduakan atau menceraikan,
Kerana…
 Suami bukan Tuhan,
 Fatimah lebih rela kehilangan,
daripada dirasuk kecemburuan,
Fatimahlah inspirasi wanita sepanjang zaman,
Kedudukannya terjamin tinggi di syurga idaman,
Kondisi ustazah sama sepertinya.

Qani’ah,
Dia meminta ustazah positif dengan poligami,
Ustazah memintanya positif dengan perceraian,
Kerana…
Dalam suasana poligami,
Ustazah yakin tidak mampu lagi menegakkan hukum Ilahi,
Sebagai seorang isteri mithali,
Perceraian itu lebih mengubatkan hati,
Meskipun ia amat berat sekali,
Mujurlah pada setiap kondisi, Islam tawarkan solusi.

Qani’ah,
Dia mengatakan ustazah lari daripada ujian,
Ustazah katakan ustazah sedang hadapi ujian yang lain,
Dia mengatakan ustazah lari daripada takdir,
Ustazah katakan ustazah sedang hadapi takdir yang lain,
Apakah ustazah tidak berhak menghindari takdir yang tidak menyenangkan?
Kepada takdir yang lebih mendekatkan diri kepada Tuhan?
Ustazah mahu mencegah diri daripada suasana emosi ini terdera,
Kepada keadaan lain yang mana emosi ini subur dibaja,
Daripada keadaan yang buruk dan susah,
Kepada keadaan yang baik dan mudah,
Ustazah bahagia dengan takdir hari ini,
Ustazah laluinya dengan senyuman dan berlapang dada,
Moga hidup kita akan datang menjadi lebih baik.

Dengan cinta  Pencipta, nyahlah segala duka.
Yang ada cuma bahagia.

Karya Fatimah Syarha.



hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Syarat Meminang Puteri Gunung Ledang


Hari ini saya sekadar memberi pendapat dari kisah syarat peminangan Puteri gunung ledang. Pendapat saya mungkin hanya satu pandangan bersifat pelik dan cuma bagai angan-angan bahawa Kesultanan Melayu Melaka itu sangat maju dan kaya.

Ini petikan wikipedia

Kisah Puteri Gunung Ledang termaktub dalam dua buku lama, iaitu "Hikayat Hang Tuah" dan "Sulalatus Salatin". Sulalatus Salatin lebih dikenali sebagai "Sejarah Melayu". Buku Sejarah Melayu adalah lebih lama berbanding Hikayat Hang Tuah.

Dalam Sejarah Melayu, Puteri Gunung Ledang dikatakan amat cantik hingga diingini oleh Sultan Mahmud dari Kesultanan Melaka. Pendekar yang diutuskan meminang ialah Laksamana Hang Tuah, Tun Mamat dan beberapa orang lain. Semasa kecil, Hang Tuah berguru silat di atas Gunung Ledang dan biasa dengan jalan ke puncak Gunung Ledang. Akan tetapi kala ini, umurnya telah terlalu tua untuk ke puncak Gunung Ledang.
Dengan itu, Tun Mamat ditugaskan ke puncak dan menemui seorang nenek tua atau lebih dikenali sebagai nenek kebayan yang sebenarnya, samaran kepada Puteri Gunung Ledang. Puteri Gunung Ledang dikatakan menolak pinangan Sultan Mahmud dengan mengenakan tujuh syarat yang tak mampu ditunaikan, ialah:

1 jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang.
1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
7 dulang hati nyamuk.
7 dulang hati kuman.
7 tempayan air mata anak dara.
7 tempayan air pinang muda.
1 mangkuk darah Sultan Ahmad, iaitu anak Sultan Mahmud Shah, dan yang masih kanak-kanak lagi.

Semua syarat itu sanggup ditunaikan oleh Sultan Melaka kecuali darah puteranya.

Saya mulakan pendapat saya 1 jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang mungkin bermaksud negara kita memang kaya emas seperti yang kita pakai hari ini. Sejarah juga membuktikan kerajaan Nabi Sulaiman membawa emas dari gunung ophir iaitu gunung Ledang.

Kedua untuk jambatan perak, rasanya sudah terang lagi bersuluh seluruh tanah Melayu ada bijih timah. Kesultanan Melayu Melaka memerintah seluruh Tanah Melayu.

Tujuh dulang hati nyamuk dan hati kuman/hama, macam pelik tapi entah-entah memang benar masyarakat Melayu dah pandai teknologi microskop untuk bedah sekecil-kecil makhluk.

Tujuh tempayan air mata anak dara sunti, fikirkan dengan jelas bahawa Melaka itu kerajaan Islam, anak dara sunti sangat dijaga rapi untuk melahirkan keturunan masa hadapan.

Tujuh tempayan air pinang muda, saya memang tak tahu tapi dari hasil google yang saya faham, airnya kelat hujung ada rasa manis. Saya berpendapat ia bagai satu yang bukan mudah tetapi ada hikmah.

Akhir, semangkuk darah anak sendiri, mustahil sultan berkuasa mutlak akan memberikan contoh tauladan demikian buat rakyat.

Bila fikir, semuanya adalah kiasan yang tersembunyi di sebalik kebenaran dan kelihatan seperti kisah dongeng. Lihat dari awal, kesultanan Melayu Melaka itu kaya dengan hasil emas dan perak (sampai sekarang kita pakai perhiasan emas dan perak), kedua mempunyai teknologi yang tinggi dari ilmu teknologi kerana sudah pandai bedah nyamuk dan hama (nak bedah, mesti ada teknologi), ketiga akhlak anak dara sunti itu sendiri mengambarkan akidah masyarakat yang menjadi teras agama (remaja kini adalah gambaran masa hadapan), keempat setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan kelima perlu ada kisah tauladan buat ikutan (kisah hebat zaman dahulu kala).

Hanya pendapat saya semata-mata lepas membaca satu ke satu kisah, sebenarnya kisah lagenda peminangan Puteri gunung ledang ini mungkin mahu keturunannya sendiri mentafsir hebatnya kesultanan Melayu Melaka secara pemikiran logik. Lagipun tak ada unsur tak logik seperti 7 dulang bintang dilangit memang mustahillah kita nak percaya , atau jambatan ais dari Melaka ke puncak gunung ledang (negara khatulistiwa mana boleh ada ais) yang boleh buat kita keturunan hari ini memperlekehkan syarat peminangan ini. Kalau ada syarat tak logik mesti kita gelak-gelak tapi bab negetif janganlah kita ambil seperti pokok menari-nari (kena faham bahawa itu hiperbola iaitu perlambangan yang melampau-lampau). Wallahualam.






hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Nama Azura Dalam Islam


Azura...
Ada sinar di matamu
Lembut hatimu mesranya... sayang


Azura...
Senyummu ku terbayang
Tanpa mu ku sepi... rindu


Azura...
Kaulah sinar hidupku
Yang mengalirkan cinta
Di dalam jiwaku


Azura...
Kaulah sinar hidupku
Moga takdir menyatukan
Cinta kau dan aku
Azura...


Lirik lagu "Azura" nyanyian Jamal Abdillah yang benar-benar mencatat sejarah kehidupan saya yang bernama Azura. Kebelakangan ini saya dapati terlampau ramai pengunjung trafik mencari maksud nama hingga hari ini saya lihat adanya carian "nama Azura dalam Islam".

Nama saya diberi oleh arwah mak yang melahirkan saya pada hari arwah mak dan abah ingin ke panggung wayang untuk menonton filem Azura. Seumur hidup saya, memang ramai rakan seusia yang bernama Azura tidak kira pada zaman sekolah dan kolej. Mereka juga seperti saya, diberi nama sempena filem Azura dan ada juga yang hanya kebetulan.

Sejak zaman sekolah, ramai yang suka menyanyikan lagu ini buat saya tidak kira guru, rakan dan kini murid saya sendiri. Untung bukan, lagu ini sangat sinonim buat saya.

Baiklah, saya pernah terbaca di sebuah blog milik kak Nad yang menceritakan tentang betapa dia ingin menukar namanya menjadi nama yang lain kerana maksud nama Azura ialah "taik kering/kucing" di dalam bahasa Arab hingga bapa kak Nad berjumpa orang yang berkenaan untuk mencari erti nama "Azura" ini. Kata orang itu, memang benar dalam bahasa Arab kuno "Azura" bermaksud "taik kering" tetapi di dalam bahasa Arab moden nama "Azura" bermaksud "awan yang biru". Sedap bukan maksud nama saya.

 Sebenarnya, saya juga percaya dari kecil lagi bahawa maksud nama saya adalah "taik kering". Sebabnya, kakak saya yang sulung bersekolah di sekolah menengah agama dan dia juga mengakuinya. Namun kini, maksud sebenar sudah terungkap dan diketahui umum.

Lupa beritahu, waktu zaman kolej, seorang rakan berbangsa Cina pernah beritahu bahawa nama "Ajula" adalah nama anak kepada raja neraka yang baik hati dalam agama mereka (ini hanya pemberitahuan) mengikut kepercayaan mereka.

Bila orang puji, maka kembang semangkuklah katakan. Bagi sesiapa yang mencari maksud nama 'Azura", berilah perhargaan kepada diri anda kerana anda memiliki "awan yang biru". Saya pula bergelar "cahaya awan yang biru".


hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Tempat Jatuh Lagi Dikenang


    Novel Tempat Jatuh Lagi DiKenang karya Adibah Amin


Pernah dengar petikan ini, ia dari sebuah novel yang saya sangat suka membacanya di perpustakaan sekolah menengah bila ke sana. Novel yang bertajuk "Tempat jatuh lagi dikenang" karya Adibah Amin. Selepas zaman sekolah, saya sudah tidak pernah berjumpanya lagi. Sebuah kisah zaman kanak-kanak Hanim di zaman penjajah hingga ke Universiti Malaya. Dia dapat menyara diri dengan hasil penulisan sejak zaman sekolah. Jika kamu pernah membaca novel ini, kamu dapat mengikuti kisah Hanim sejak zaman kecil, apabila membuang kuku, di suruh ibunya untuk tanam kuku tersebut di dalam tanah dan dia akan mengorek kembali tanah itu dengan berkata "jula juli bintang tiga, beri Hanim gula-gula". Bagaimana saat dia melihat kelahiran dua orang adiknya ketika itu. Hingga mak su dan ayahnya meninggal dunia.


Saat ibunya menjadikan rumah mereka sebagai rumah tumpangan wanita-wanita yang belajar dengan ibunya hingga mereka perlu mengosongkan rumah itu di zaman Jepun dan berpindah ke tempat lain. Suatu saat, pernah ibu Hanim memotong pendek rambutnya dan adik perempuan seakan lelaki untuk mendaftar ke sebuah sekolah orang putih yang hanya menerima pelajar lelaki. Kata orang di sekolah itu "kami perlu ikut peraturan" dan ibu Hanim menjawab "PERATURAN DIBUAT UNTUK DILANGGAR". Lalu mereka pulang.


Saya tidak ingat kisah seterusnya, cuma sewaktu Hanim di zaman remaja sekolah, Hanim mengambil peperiksaan yang melayakkan dia ke Universiti Malaya. Kisah Hanim dan sekolah, saya sudah lupa. Di hujung novel, Hanim pulang ke rumah sewaktu cuti semestar dan mengenang kembali zaman kecilnya. Hidupnya sudah berubah dan segi fesyen dan sosial namun untuk pulang ke kampung, dia berpakaian sopan.


Dimana saya boleh mencari karya yang indah ini lagi, saya sangat sukakan novel ini. Sewaktu mengambil kertas kepimpinan organisasi, saya telah membuat kertas kerja mengenai tokoh bernama "Adibah Amin". Benar, saya suka karyanya. Ingin ke pesta buku dalam kesesakan manusia sudah saya lalui di zaman sekolah lagi. Insyaallah saya akan menuju ke sana mencari karya-karya bernilai dihati. Tidak jumpa novel ini pun tidak mengapa, saya suka membaca karya yang menyentuh hati untuk panduan dan ingatan.


hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

Kembali ke blogspot

Dua tahun bersama papan kekunci dot com, kini kembali ke dunia blogspot.

hak cipta bukan untuk dimanupulasikan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Web Analytics