Sebuah puisi Airmata Ustazahku dari blog salah seorang penulis di i luv islam (sumber). Sesungguhnya puisi Airmata Ustazahku adalah Cinta High Class.
Qani’ah Syumaila
Dia meminta ustazah menjadi Sarah,
Mencarikan Hajar untuk suaminya.
Ustazah memintanya sesetia Ibrahim,
Tidak berusaha mencari yang kedua,
Meskipun isterinya mandul sekian lama,
Kerana…
Ustazah telah melahirkan sembilan orang anaknya,
Kondisi Sarah ternyata berbeza,
Qani’ah,
Dia meminta ustazah menjadi Aisyah,
Rela dimadukan suami,
Ustazah meminta dia sesetia Rasulullah,
Tidak rela memadukan Khadijah,
Walau dengan mengambil hamba,
Kerana…
Ustazah boleh beranak dan Aisyah tidak,
Kondisi Aisyah ternyata berbeza.
Qani’ah,
Dia meminta ustazah taatkan hasratnya,
Tidak membantah dan tidak menegah,
Agar senang masuk ke jannah,
Ustazah meminta dia hormati hak seorang Fatimah,
Suaminya Ali, diberikan dua pilihan,
Sama ada menduakan atau menceraikan,
Kerana…
Suami bukan Tuhan,
Fatimah lebih rela kehilangan,
daripada dirasuk kecemburuan,
Fatimahlah inspirasi wanita sepanjang zaman,
Kedudukannya terjamin tinggi di syurga idaman,
Kondisi ustazah sama sepertinya.
Qani’ah,
Dia meminta ustazah positif dengan poligami,
Ustazah memintanya positif dengan perceraian,
Kerana…
Dalam suasana poligami,
Ustazah yakin tidak mampu lagi menegakkan hukum Ilahi,
Sebagai seorang isteri mithali,
Perceraian itu lebih mengubatkan hati,
Meskipun ia amat berat sekali,
Mujurlah pada setiap kondisi, Islam tawarkan solusi.
Qani’ah,
Dia mengatakan ustazah lari daripada ujian,
Ustazah katakan ustazah sedang hadapi ujian yang lain,
Dia mengatakan ustazah lari daripada takdir,
Ustazah katakan ustazah sedang hadapi takdir yang lain,
Apakah ustazah tidak berhak menghindari takdir yang tidak menyenangkan?
Kepada takdir yang lebih mendekatkan diri kepada Tuhan?
Ustazah mahu mencegah diri daripada suasana emosi ini terdera,
Kepada keadaan lain yang mana emosi ini subur dibaja,
Daripada keadaan yang buruk dan susah,
Kepada keadaan yang baik dan mudah,
Ustazah bahagia dengan takdir hari ini,
Ustazah laluinya dengan senyuman dan berlapang dada,
Moga hidup kita akan datang menjadi lebih baik.
Dengan cinta Pencipta, nyahlah segala duka.
Yang ada cuma bahagia.
Karya Fatimah Syarha.
hak cipta bukan untuk dimanupulasikan
No comments :
Post a Comment